Bahagian pertama buku ini memaparkan 18 kisah masalah pembelajaran yang disusun mengikut kategori seperti masalah pembacaan, emosi atau berkaitan dengan terapi. Bahagian kedua pula adalah soalan-soalan lazim dan jawapannya yang diolah berdasarkan kisah masalah pembelajaran dalam bahagian pertama. Ianya disusun bermula dengan pengenalan permasalahan, diikuti dengan gejala, dan terapi yang diperlukan. Antara contoh soalan lazim adalah: apakah terapi cara kerja, mengapa anak saya diletakkan dalam kelas paling corot, mengapa guru tadika tidak mahu menerima anak autisme, perlukah anak didenda jika tidak mahu belajar, mengapa anak perlu didaftarkan sebagai orang kurang upaya, bagaimana mendapatkan rawatan di klinik psikiatri dan mengapa perlu menjalani ujian IQ.
Penulis berkongsi bagaimana penilaian dijalankan di klinik, cadangan terapi yang diperlukan, serta kepentingan bekerjasama dengan ibu bapa dan pihak sekolah. Justeru itu, buku ini memberikan maklumat yang sangat praktikal untuk membantu ibu bapa dan guru mendapatkan perkhidmatan yang sewajarnya. Gaya penulisan santai yang digunakan dalam buku ini menjadikan pembaca tidak bosan dan akan teruja untuk membaca sehingga akhir.