============================
ISBN-13: 978-967-10641-2-2
Jumlah Muka Surat: 320
Berat (Kg): 0.470
Banyak kajian dari luar negara telah menegaskan bahawa Alam Melayu ini pernah wujud satu benua besar yang menjadi punca ketamadunan dunia sejagat. Adakah ini bermakna Nabi Adam AS diturunkan dari syurga ke Alam Melayu?
Buku ini cuba menyusun kembali duduk letak sejarah pergerakan manusia menurut zaman kehidupan 25 orang Nabi yang patut diketahui orang Islam. Apabila diselaraskan waktu antara turunnya baginda ke muka bumi menurut kitab berbanding munculnya manusia pertama Homo Sapiens seperti kita menurut sains, hasil dan implikasinya amat memeranjatkan.
Radzi Sapiee adalah seorang graduan matematik dari University College of London 1991-1995 yang bertukar arah masuk ke dunia penulisan akibat disapa beberapa pengalaman mistik. Kecenderungan terhadap sains beralih ke arah Tasawuf sambil dia mencuba kerjaya sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times 1996-2001
Pengalaman-pengalaman mistik membawa beliau untuk mengembara menjejak salasilah keluarga sampai ke Aceh. Hasilnya terbit trilogi novel travelog berunsur sejarah “Berpetualang ke Aceh” 2006-2007 atas nama syarikat sendiri Wasilah Merah Silu. Sejak itu beliau lebih dikenali sebagai Merah Silu. Ini merujuk kepada raja yang mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai pertengahan abad ke-13 Masihi.
===========================================
ULASAN
Alam melayu, Sunda, Nusantara dan bangsa Melayu, amat berkait antara satu sama yang lain. Namun, kebanyakan sejarah lampaunya masih banyak belum terungkai dan samar - samar. Pelbagai teori dan pendapat dikemukakan baik dari sarjana barat mahupun sarjana tempatan untuk menjelaskan jasad peradaban dan sejarah ketamadunan bangsa Melayu. Ada pendapat atau teori yang boleh di terima dan ada juga ditolak kerana tidak berasas ataupun terlalu ganjil jika dibandingkan mengikut perjalanan sejarah dunia bersumberkan sains, rekod sejarah dan Al-Qur'an.
Melalui penulisan beliau, Radzi Sapiee @ Merah Silu telah membuat pengkajian mengenai topik ini yang masih dalam perdebatan dikalangan sarjana - sarjana dunia. Beliau cuba menyusun kembali pensejarahan migrasi manusia mengikut turutan zaman para nabi dan rasul terutamanya 25 orang yang wajib diketahui dan dibuat perbandingan dengan fakta sains yang memerihalkan tentang kemunculan manusia yang pertama.
Beliau juga membuat penelitian mengenai hujah - hujah yang disampaikan dalam buku - buku seperti buku Indonesia Negeri Saba' dan dibalas dengan fikiran beliau berdasarkan pengkajian yang telah dilakukan. Buku ini secara asasnya membahaskan tentang pencarian asal - usul bangsa Melayu dan sejarahnya yang tersembunyi. Kepada yang meminati sejarah, buku ini boleh dijadikan sebagai bahan bacaan tambahan untuk mengetahui pendapat tentang sejarah bangsa Melayu dari perspektif dan kajian individu yang lain.