Selamat Datang, Pelanggan Yang Dihormati. (SIGN IN | Register)

 

 
RM99.00 more to FREE shipping


Perangai Bergantung pada Diri Sendiri: Za'ba (L211)

RM15.00
Weight: 0.20 kg
9789834602888
Out-of-stock
RM99.00 more to FREE shipping
Buku ini berkenaan diri kita yang patut bergantung pada diri sendiri untuk mendapatkan sesuatu tanpa mengharapkan orang lain. Orang yang selalu mengharapkan orang lain diibaratkan seperti "kutu di atas kepala".
 
Za'ba mengkritik hebat orang yang suka mengharapkan orang lain. Contohnya, orang yang tidak mahu beribadah tetapi mengharapkan bacaan tahlil orang ramai sebagai bantuan untuk masuk syurga. Bahkan, ada yang mengharapkan syafaat Rasulullah tanpa mahu beribadah.
 
"Akan tetapi jika "semuanya" orang Islam hendak jadi begitu - hendak masuk ke syurga dengan jalan syafaatnya dan permohonan Rasullullah sahaja menolongnya,bukan dengan jalan amal sendiri atau dengan jalan kelayakan sendiri dari sebab amalnya itu - nescaya tentulah akan memberi malu besar kepada Rasulullah hendak memohon ke hadirat Tuhan."
 
Hasil karya Za'ba ini menyimpulkan kelemahan sahsiah adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa. Menurut Za'ba kemunduran orang Melayu disebabkan sebahagian besarnya kerana mereka tidak percaya pada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu menggantungkan diri dan harapan kepada orang lain. Orang Melayu lebih cenderung meminta bantuan dan pertolongan orang lain.

Apa lagi agaknya yang kurang dengan orang Melayu? Buku ini menyenaraikan kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki, sekaligus sebagai penunjuk arah kepada muhasabah diri dan bangsa, agar tidak terus alpa dan ditinggalkan bangsa-bangsa lain.

"Kekayaan saudagar pundi-pundi emasnya. Kekayaan Pendeta kepingt-keping kertasnya." - Za'ba
 
 
ULASAN OLEH DR. MAZA
 
“Perangai Bergantung pada Diri Sendiri” adalah buku yang ditulis oleh Pendeta Za'ba sebelum merdeka lagi. Golongan agama konservatif menggunakan Sultan Perak supaya hasil tulisan Za'ba diharamkan. Itulah nasib Za'ba semasa hayatnya.
 
Prof Ungku Aziz memberi buku tersebut kepada saya supaya saya membacanya. Beliau menyatakan beliau membacanya berulang kali saban tahun. Buku ini menggambar betapa orang melayu diajar tidak berdikari sehingga mati pun pahala bergantung kepada orang lain.

Antara kata-kata Za'ba dalam buku tersebut:

1. Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya-tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapat kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak!
 
Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak.

2. Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta. Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan.
 
Tuhan dan Rasulnya tidak menyukai orang-orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain. Imam-imam Mujtahidun dahulu kala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekelian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid-murid dan pengikut-pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu.

3. Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya.

4. Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu.
 
Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!
 
Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi.
 
Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. 
 
 
 
 
PETIKAN BUKU
 
Sikap yang dikatakan bergantung kepada diri sendiri ialah melakukan apa saja dengan bertanggungjawab serta sanggup menanggung segala akibat yang bakal menimpa dari tindakannya itu. Tidak mengharap orang lain membantunya atau menangung segala apa yang di lakukannya kerana dia yang bertanggungjawab ke atas segala-galanya kecuali sesuatu itu memerlukan bantuan orang lain.
 
Manusia diminta membantu orang lain, namun janganlah sampai bantuan yang diperolehi menyebabkan seseorang itu malas untuk bekerja dan hanya berpeluk tubuh sahaja. Jika sesuatu perkara itu tidak memerlukan bantuan daripada orang lain, maka diwajibkan ke atasnya mengerjakan sendiri kerjanya itu.
 
Bergantung pada diri sendiri dalam bahasa arab di sebut “al-I timad ala al-nafs” dan perkara ini tidaklah jelas dalam al-quran atau hadis tetapi kita sendiri boleh memahaminya daripada segala amar dan nahi yang di gariskan oleh ajaran agama islam kepada kita manusia.
 
Segala dalam amar dan nahi yang di ucapkan dalam al-quran dan hadis adalah ditujukan kepada manusia untuk membaiki kelakuan dan budi pekerti. Salah satu yang terkandung dalam hadis mengenai kelakuan manusia adalah “Makarim alakhlaq”.
 
Oleh itu jelas bahawa setiap amar dan nahi yang terbit daripada ajaran Islam itu benar dan dituntut oleh islam dan nabi kita Muhammad s.a.w.
 
Perangai yang ada pada diri kita merupakan tunjang kepada kejayaan sendiri. Perangai mengerakkan seseorang itu untuk bekerja keras, bersungguh-sungguh atau sebaliknya. Perangai yang baik mengelakkan diri kita daripada berserah dan bertawakal semata-mata.
 
Perasaan tanggungjawab terhadap tugas membuatkan seseorang itu berusaha sendiri dengan kebolehan yang dimiliki dan hanya memohon pertolongan daripada Allah Yang Maha Esa.
 
Bidalan Melayu ada menyebut tentang pentingnya bekerja sendiri:
 
“berharap kepada anak, buta mata sebelah, Berharap kepada orang, buta mata keduanya.”
 
“Mahakka jallidaka mislu zafrika fattaulaanta jamia amrika”
 
Maksudnya:
 
Tidak ada yang boleh mengaru gatal kulitmu sama seperti kuku tanganmu sendiri, sebab itu buatlah olehmu sendiri segala kerja tanggungan dirimu.
 
“Fainnama rajuluddunya wawahiduha manla yuawwalu fiddunya ala rajuli wakullaman asya fiddunya ala amalistanjiduljida illa faza balamali”
 
Maksudnya :
 
Laki-laki yang satu-satunya jadi anak tunggal dunia, tidak lain hanya orang yang tiada berharap dalam dunia ini kepada sesiapa pun orang lain. Jarang orang yang hidup di dunia ini dengan satu-satu harapan, serta mengambil pertolongan dari perangai bersungguh-sungguh.
 
Tidak menjadi kurang sifat kita jika meminta panduan dan nasihat daripada orang lain, asalkan memperkatakan sesuatu yang benar, bijak dan berilmu serta tulus dan ikhlas dalam katakatanya itu, kerana dengan demikian seseorang itu boleh mengambil ilmu dan pendapat orang lain. Tidaklah rugi dia berbuat demikian selagi perkara itu tidak menjadikannya lemah dan hilang kekuatannya.
 
Sifat kebergantungan pada diri sendiri perlu ada dalam masyarakat kerana ia akan membawa kepada kemajuan sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa akan maju dan dihormati jika mereka percaya pada kebolehan dan kelebihan yang ada pada diri sendiri tanpa mengharapkan bantuan mana-mana pihak lain.
 
Kemajuan atau kemunduran sesuatu bangsa bergantung kepada rakyat itu sendiri. Setiap apa yang mereka lakukan samada baik atau buruk akan mendatangkan kesan kepada bangsa mereka sendiri tidak kira siapa pelakunya samada rakyat biasa mahupun golongan istana. Rakyat yang kuat dan berusaha bersungguh-sungguh serta percaya pada kebolehan diri sendiri akan dapat memajukan bangsanya dan akan mendapat kehormatan dan kemuliaan di mata dunia.
 
Namun jika rakyatnya bersifat lembap, malas, suka mengantuk, maka bangsa yang lemah akan wujud. Jika dihapuskan sifat-sifat itu hingga ke akar umbi nescaya bangsa itu akan mencapai kemajuan. Jika sesuatu bangsa menagih simpati untuk mendapatkan bantuan bangsa lain maka bangsa itu adalah sangat lemah. Fikiran mereka ini sangat keji dan hina, jika dibiarkan ianya berlarutan terus ketinggalan berbanding bangsa-bangsa lain.
 
Ibu bapa harus mempunyai keazaman yang tinggi dan perlu bersungguh-sungguh untuk memberikan anak-anak mereka pelajaran kerana dengan penguasaan ilmu sahaja sesuatu bangsa itu akan mencapai kemajuan.
 
Untuk mendapatkan kejayaan dan kemenangan di akhirat, perlulah berpandu kepada individu yang melakukannya. Tiap–tiap seorang diwajibkan beramal dan beribadat dengan usaha dan tenaganya sendiri atau tanpa pernah disuruh dan menganggap dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang atau kepada “fidyah” penebus yang dibuatkan orang bagi mendapatkan kejayaan dalam keselamatannya di akhirat kelak!
 
Allah tidak pernah menyuruh kita untuk berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan – bacaan Qul Huwa`llah dari orang apabila kita meninggal kelak!! Bahkan kita tidak pernah digalakkan untuk berharap kepada syafa`at Nabi s.a.w. sekalipun bagi melepaskan diri kita daripada neraka!
 
 
BIODATA PENULIS: ZA'BA
 
Zainal Abidin Ahmad, juga dikenali sebagai Za'ba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.

Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.

Dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Za'ba menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.

Za'ba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916, dan kemudiannya bertukar ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (1918), Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur (1923), Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1924), Jabatan Maklumat, Singapura, (1939 sehingga 1942), Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London (1942 sehingga 1951), dan Universiti Malaya, Singapura sehingga (1951 sehingga 1959).

Za'ba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah-majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh, dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap, Singapura.
 
 

Anda Juga Mungkin Meminati Produk Ini:

 

 

 

ORDER DIPROSES & DIHANTAR SETIAP HARI*

Bayar SEBELUM 10 AM, order akan diproses & dihantar pada hari yang sama.

Bayar SELEPAS 10 AM, order akan diproses & dihantar pada esok hari.

*ISNIN - JUMAAT (hari bekerja sahaja). Tiada penghantaran dibuat pada hari Sabtu, Ahad & cuti umum.

 *Order akan sampai mengikut masa & kaedah penghantaran yang dipilih. Mahu tahu lebih lanjut? KLIK DI SINI

 

BOOKCAFE: JENAMA YANG DIPERCAYAI

 
Lihat semua review, KLIK DI SINI
 
 

ANUGERAH BOOKCAFE

 

 

SEDIA BERKHIDMAT UNTUK ANDA

 
 

JAMINAN BOOKCAFE

 

1. Order diproses & dihantar setiap hari.

2. Penghantaran pantas terus ke alamat anda.

3. Buku atau produk yang rosak diganti baru secara percuma.

4. Tiada caj penghantaran dikenakan untuk penghantaran order gantian.

5. Data peribadi pelanggan dilindungi & tidak dijual kepada pihak luar.

6. Jaminan wang dikembalikan (refund).

7. Servis yang cekap & mesra.

8. Resit atau tax invoice untuk pelepasan cukai disediakan.

Jaminan ini tertakluk kepada terma & syarat. Maklumat lanjut untuk jaminan Bookcafe & penyelesaian masalah pelanggan: KLIK DI SINI