Shahnon membawa pembaca merentasi alam kreatif dan fantasi untuk sama-sama membuat post-mortem ke atas sistem ala-ala "politik belantara". Untuk tujuan itu, beliau menggunakan teknik stream of consciousness, monolog dalaman, imbas kembali, igauan dan mimpi-mimpi ngeri. Segala kepincangan masyarakat dikritik habis-habisan; bermula daripada setitis air, sejalur sungai, serangga, binatang berbisa, semak samun, ladang, hutan belantara, malah manusia.
Patriarch kaya dengan imej dan simbol, kasih sayang, gambaran kekejaman, bahasa daerah, juga kaya dengan tabii dan mentaliti "manusia politik". Untuk menikmati novel ini, maka gaya bahasa Shahnon perlulah ditafsir dan dinilai pada tahap lapis makna kedua.